Isnin, 25 November 2013

Layan Kolam HERITAGE

Lama jugak tak layan kolam bayar ni. Dulu rajin jugak pegi memancing di kolam-kolam bayar kalau takde aktiviti menyiram bunga atau memberi kucing makan. Tengahari lepas Zohor terus ke Ulu Yam menuju ke Kolam Heritage dengan hasrat dapat menarik patin mega dan rohunya heheheh... 

Jalan Ulu Yam - lengang pulak, mana peginya kereta ramai-ramai yang selalu menuju ke tempat perkelahan tu? Agaknya ramai yang tak pegi berkelah kot hari ni

Suasana kolamnya memang damai. Air kolam bersih, tandas bersih, kedai makan bersih dan ikan-ikan kat dalam tu lagi bersih sebab air yang masuk ke kolam adalah dari anak sungai pergunungan yang terletak di sebelah kolam... Tu sebab ikan-ikannya tidak berbau lumpur jika dimasak (orang cakap la)

Ada empat kolam semuanya. Ni kolam utama la kot sebab besar dari kolam yang lain

Dua kolam ni ada talapia merah dan keli. Kadang-kadang rohu pun ada tapi tak besar sangat 

Ada pondok di setiap kolam untuk berlindung dari panas dan hujan

Masa sampai tu orang tak berapa ramai lagi, jadi aku tawaf dulu ambil gambar

Ada jugak disediakan pondok atau chalet kepada yang nak menginap di sini. Di tepi chalet ni ada anak sungai, sesuai untuk bawa anak-anak mandi-manda

Kawasan Chalet yang lapang sesuai untuk buat Hari Keluarga

Sebenarnya aku ni bukanlah pakar sangat nak menyediakan umpan kat kolam-kolam bayar ni, aku main taram je. Oleh sebab pengalaman pun kurang maka aku gunakan umpan yang selalu aku guna untuk memancing lombong je. Dedak Bomb, Tepung Gandum, Pallet Ikan dan Perasa Pandan. Kalau kat lombong, boleh menangis patin kalau tengok umpan aku nih!

Haa... tengok! Kan dah dapat sekor, tapi orang sebelah aku laaa... Habih la anak aku dah tanya apasal kita tak dapat-dapat lagi ni. Aku pun mula dah rasa macam nak kumpau je...

Takpe... mungkin rohu dan patin kolam ni tak lalu lagi depan umpan aku, ujar aku sambil menyedapkan hati sendirik...

Waahhh... rohu yang sihat!

Setelah minit demi minit, jam berganti jam... kebanyakan orang sebelah aku yang banyak menaikkan patin dan rohu. Aku kenen-kenen la jugak umpan yang diorang pakai. Ada roti bun, ada pakai roti sandwich yang dipotong dadu lalu dicampur dengan perisa strawbery...

Ada la satu strike yang anak aku dapat... wah, patin tu! Dalam aku dok sibuk nak pegi tangguk dah terlucut. Rupanya mata kail tak tertancap kukuh kat mulut patin tu. Bila sampai ke tebing tali dah kendur, patin tu meronta je terus tanggal mata kail... sudah tu anak aku marah sebab lambat tangguk, ye laaa... masa dia tengah fight tu kan aku ambil gambar, camana nak tangguk... 

Aku? Hahahahaaaaaa.... hahahahaaa (tawa dalam kumpau)

Dapat la ikan ni sekor, tu pun aku korek cacing belakang pondok mancing ni. Walaupun kecik tapi memberikan perlawanan yang mendebarkan (ayat sedapkan hati)... Ikan ni aku tak sampai hati nak bawak balik dan aku lepaskan semula untuk pertarungan masa hadapan... ceewah!
Memancing kolam ni bukan sekadar skil, rezeki dan pengalaman je memainkan peranan penting. Persembahan umpan juga perlu diambil kira. Sebab aku tengok umpan pemancing lain dah macam-macam ramuan yang diorang letak. Tu sebab bila aku tunjuk umpan aku, diorang cakap umpan macam ni dah ketinggalan dah... sekarang ni banyak campuran seperti buah perah, pisang, strawbery dan macam-macam lagi lalu digaulkan menjadi umpan power yang mampu membawa pulang tangkapan yang banyak

Umpan roti yang dipotong dadu dan digaulkan dengan perisa strawbery. Jangankan ikan, aku sendiri pun terliur bila tengok...

Papan tanda masuk ke kolam tu

Hari pun dah semakin petang dan hujan pulak macam nak turun je... aku kemaskan barang dan tamatkan sesi pancingan aku dengan bergaya... anak aku tak puas hati je pasal patin tadi, habih la dia pot pet pot pet dalam kereta nanti... hihihihi... lain kali ripit lagi!

SEDIKIT INFO:
1. Kawasan seluas 23 ekar ini mempunyai 4 kolam untuk diduga di samping beberapa buah chalet untuk kemudahan pemancing menginap di sini
2. Waktu operasi dari pukul 8 pagi hingga 1 pagi pada hari Isnin hingga Khamis, manakala Jumaat hingga Ahad dibuka 24 jam dengan kadar RM30 (deposit) untuk 3 jam memancing
3. Bagi yang biasa mengunjungi Empangan Batu dan kawasan perkelahan Ulu Yam cuma jalan terus dari kawasan perkelahan tersebut hingga melalui Zon Perindustrian Perabot Hulu Yam lebih kurang 15 minit dari kawasan perkelahan Rock Resort dan sebagainya. Perlu sedikit perhatian kerana banyak selekoh tajam jika melalui kawasan ini. Manakala dari arah utara akan melalui jalan lama dari Batang Kali cuma perlu masuk persimpangan ke Ulu Yam di sebelah kiri dan pandu terus lebih kurang 20 minit akan sampai ke kolam ini di sebelah kiri jalan